PENDUDUK membersihkan rumahnya yang dilanda banjir di Baling, malam tadi. FOTO SAFURI KAMARUDIN.
PENDUDUK membersihkan rumahnya yang dilanda banjir di Baling, malam tadi. FOTO SAFURI KAMARUDIN.
Safuri Kamarudin


Baling: Wanita warga emas mengakui sudah mangli dengan musibah banjir yang kerap berlaku di kampungnya sehingga tiga kali dalam setahun.

Che Senah Che Hat, 78, dari Kampung Tanjung Pari, Siong berkata setiap kali hujan lebat dan banjir, keluarganya terpaksa berpindah.

"Dalam setahun, berlaku banjir sampai tiga kali dan banyak barangan rosak seperti perabot dan tikar getah.

"Mana yang sempat diselamatkan, saya selamatkan manakala yang tak sempat dibiarkan dibawa arus," katanya.

Jirannya, Hasmah Kasim, 67, berkata banjir kerap berlaku pada waktu malam menyebabkan mereka berpindah awal kerana bimbang dengan keadaan cuaca gelap.

Beliau berkata, kedudukan rumah hampir dengan tebing sungai menyebabkan air masuk dengan cepat.

"Bukan setakat air sahaja, tetapi bercampur lumpur hingga melekat di dinding rumah.

"Air bercampur lumpur dan berbau sehingga menyukarkan untuk membersihnya malah sampah sarap penuh di sekeliling rumah," katanya.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, semua mangsa banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing tengah hari ini, berikutan air semakin surut.

Beliau berkata, 44 keluarga membabitkan 78 penduduk di lapan kampung di Mukim Siong dipindahkan ke PPS malam tadi.

Katanya, mangsa terbabit ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari, SK Seri Bayu Weng dan SK Siong.

Sementara itu, Pengurus PPS, ShamsulIzrin Isahak berkata, amalan gotong-royong memasak di PPS tidak ada lagi seperti dilakukan sebelum ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Jadi kami membuat tempahan makanan daripada pembekal berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) norma baharu.

"Mangsa banjir di PPS perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan melalui KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 1:16 PM