KEADAAN rumah penduduk di Kampung Haji Abas yang dilanda banjir. FOTO Safuri Kamarudin.
KEADAAN rumah penduduk di Kampung Haji Abas yang dilanda banjir. FOTO Safuri Kamarudin.
Safuri Kamarudin


Baling: Seramai 149 penduduk daripada 51 keluarga di daerah ini dipindahkan ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), selepas kediaman masing-masing dinaiki air akibat limpahan Sungai Ketil.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, tujuh mukim terjejas akibat banjir iaitu pekan Baling, Bongor, Siong, Bakai, Pulai, Teloi dan Kupang

Katanya, PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putera, SK Siong, SK Bandar, SK Tanjung Pari, SK Bayu dan SK Titi Gantung.

"Sementara PPS Dewan Banggol Derum, Bongor dan PPS Maktab Mahmud Baling dibuka pada awal pagi tadi.

"Sehingga kini, kebanyakan kawasan masih banjir dan proses pemindahan mangsa diteruskan," katanya ketika dihubungi.

Rasidah berkata, setakat pagi ini juga paras Sungai Ketil masih melepasi bahaya berikutan hujan lebat mulai 6 petang semalam.

Katanya, semua agensi berkaitan kini berjaga-jaga dan sedia digerakkan bagi membantu mangsa, sekiranya hujan berlarutan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 10:56 AM