VAT Malaysia dilantik sebagai langkah untuk memperkasakan pasukan renjer. Foto Ihsan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
VAT Malaysia dilantik sebagai langkah untuk memperkasakan pasukan renjer. Foto Ihsan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
Raja Noraina Raja Rahim

PASUKAN Renjer akan diperkasa melalui penggunaan teknologi terkini untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia selari keperluan semasa dan era normal baharu.

"Kerajaan akan memperkasakan penggunaan aplikasi teknologi seperti geospatial bagi membantu anggota renjer melaksanakan tugasan pemantauan dan penguatkuasaan.

"Bagi menyokong usaha ini, kerajaan akan memberikan latihan kepada renjer untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran mereka dalam menggunakan aplikasi yang disediakan.

"Penekanan juga akan diberikan ke arah memperkukuh integriti renjer bagi membendung salah laku dan guna kuasa," katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Renjer Sedunia di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Shamsul berkata, renjer antara barisan hadapan yang berdepan pelbagai risiko dalam menjaga dan mempertahankan sumber asli daripada pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar.

"Ketika berdepan penularan pandemik Covid-19, anggota renjer terus komited melaksana tugas diamanahkan antaranya pembabitan renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) serta operasi pemadaman kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan," katanya.

Katanya, OBK mencapai kejayaan besar dalam menangani pemburuan haram hidupan liar apabila menahan 82 pesalah membabitkan 36 kes tangkapan dan sebanyak 460 jerat dimusnahkan.

Menyedari peranan itu, beliau berkata, kekuatan anggota renjer ditambah dengan melantik 100 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) dan 50 Orang Asli sebagai renjer hidupan liar bagi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 10:29 PM