Shamsul Anuar Nasarah bersama renjer hidupan liari pada majlis penyerahan watikah renjer hidupan liar di Taman Negara Pahang, Sungai Telah. FOTO IHSAN Kementerian
Shamsul Anuar Nasarah bersama renjer hidupan liari pada majlis penyerahan watikah renjer hidupan liar di Taman Negara Pahang, Sungai Telah. FOTO IHSAN Kementerian
Mohd Rafi Mamat


SERAMAI 150 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) dan Orang Asli dilantik sebagai anggota renjer hidupan liar bagi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pasukan berkenaan bertanggungjawab membanteras kegiatan pembalakan dan pemburuan haram serta pencerobohan hutan.

Katanya, tugas utama pasukan terbabit ialah mengawal lokasi panas membabitkan kawasan Taman Negara, Rizab Hidupan Liar, Taman Negeri, Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan Tapak Ramsar di Semenanjung.

Menurutnya, penubuhan pasukan renjer hidupan liar adalah inisiatif Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang turut membabitkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi penguatkuasaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Program BP3 adalah kesinambungan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilancarkan 3 September tahun lalu membabitkan kerjasama Perhilitan, PDRM, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), JPSM dan NGO yang disertai Wildlife Conservation Society (WCS), Pelindung, MyCat, RIMBA dan World Wide Fund for Nature (WWF).

"Selain menerima bayaran perkhidmatan secara bulanan, renjer hidupan liar turut diberi elaun dan kemudahan bertugas rasmi. Pelantikan mereka membuka peluang pekerjaan kepada golongan terbabit," katanya pada majlis penyerahan watikah renjer hidupan liar di Taman Negara Pahang, Sungai Relau, Lipis, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Shamsu Anuar berkata, semua renjer hidupan liar akan ditempatkan di Taman Negara Pahang; Taman Negara Terengganu; Taman Negara Kelantan; Royal Belum, Perak; Taman Negara Endau Rompin Johor; Rezab Hidupan Liar Sungkai, Perak; Rezab Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor; Rezab Hidupan Liar Krau, Pahang; dan Taman Negara Pulau Pinang.

Katanya, sepanjang OBK hingga 31 Disember tahun lalu sebanyak 36 kes membabitkan 82 individu ditahan, selain 460 pelbagai jenis jerat turut dimusnahkan.

Menurutnya, individu yang ditahan terdiri daripada seramai 33 penduduk tempatan, Thailand (3), Bangladesh (6), Indonesia (4), China (14), Myanmar (6), Kemboja (12) Vietnam (4).

Menurutnya, semua mereka disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010; Akta Perhutanan Negara 1984; Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor 1989; Akta Imigresen 1959/63; Akta Senjata 1960; Enakmen Taman Negara Pahang (Pindaan) 2018 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

"Sebanyak 10 kes dibawa ke mahkamah dengan lima kes sudah selesai membabitkan denda sebanyak RM150,000 dengan nilai sitaan keseluruhan RM2.7 juta, lima kes lagi masih dalam sebutan mahkamah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 4:01 PM