Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad
Asrol Awang


Kuantan: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serius menangani krisis populasi Harimau Malaya di negara ini.

Menteri, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata antara usaha dan pencapaian yang dilaksanakan ialah penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau (MyTTF) tahun lalu.

Katanya, MyTTF yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan

komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam menangani krisis Harimau Malaya.

"Selain itu, Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) bagi menangani isu pencerobohan, pemburuan serta pembalakan haram yang mula dilaksanakan pada 2019 akan terus diperkukuhkan dengan pelantikan 1,000 Renjer Komuniti.

"Renjer Komuniti yang terdiri daripada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM), masyarakat Orang Asli serta komuniti setempat.

"Sebanyak enam siri Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) membabitkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Pihak Berkuasa Negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) dilaksanakan tahun ini," katanya.

Nik Nazmi berkata demikian pada Pahang 1st Tiger Summit 2023 di sini, hari ini.

Teks ucapan Nik Nazmi dibacakan oleh Ketua Setiausaha NRECC, Datuk Rosli Isa.

Hadir sama, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Nik Nazmi berkata, usaha untuk melindungi Harimau Malaya dan memulihara habitat semula jadinya tidak mungkin tercapai tanpa komitmen daripada kerajaan negeri.

"Oleh itu, komitmen Kerajaan Pahang dalam menyokong usaha pemuliharaan Harimau Malaya termasuk mewartakan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah amat membanggakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 12:43 PM