ABDUL KADIR ABU HASHIM
ABDUL KADIR ABU HASHIM
Amir Mamat dan Nuraliawati Sabri


Melaka: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) merekodkan nilai sitaan berjumlah RM656,000 sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jumlah sitaan itu dipungut hasil daripada 19 kertas siasatan yang dibuka membabitkan pelbagai kesalahan jenayah termasuk pembalakan haram dan mencuri hasil hutan negara.

Beliau berkata, sejak 2019 sehingga Mac tahun ini sebanyak 30 siri operasi OBK sudah dilakukan.

"Untuk tahun 2021 sehingga Mac sebanyak tiga siri operasi dijalankan dan berjaya mengesan sebanyak 104 jerat dimusnahkan selain 15 kesan khemah pendatang tanpa izin turut dijumpai.

"Kita juga berjaya mengesan 10 kesan tebangan pokok karas serta 51 kesan pemburuan lain berjaya direkodkan selain seramai 43 pesalah termasuk lapan warga asing berjaya ditangkap," katanya selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 7, yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador di sini, tadi.

Menurut beliau, secara keseluruhan OBK yang bermula 2019 sehingga Mac 2021 berjaya merampas serta menyita sebanyak 18 laras senjata api berlesen dan buatan sendiri dari pemburu haram.

Sementara itu, mengulas lanjut Abdul Kadir berkata, seramai 600 orang Renjer Hidupan Liar akan dilantik pihaknya dibawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) sepanjang 2021.

"Mereka ini akan terdiri daripada 160 orang Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 425 individu Orang Asli bagi menjalankan aktiviti penguatkuasaan di Kawasan Perlindungan yang terbabit.

"Tambahan kepada lantikan tersebut turut dilakukan apabila seramai 15 veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dilantik sebagai renjer bagi membantu kerja- kerja risikan yang membabitkan jenayah hidupan liar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 5:43 PM