KADIR akui Bajet 2023 mampu membantu Perhilitan menangani pelbagai isu haiwan liar dilindungi.
KADIR akui Bajet 2023 mampu membantu Perhilitan menangani pelbagai isu haiwan liar dilindungi.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin'


Kuala Lumpur: Pengumuman peruntukan sebanyak RM36 juta melalui Bajet 2023 khusus bagi program konservasi Harimau Malaya, gajah dan spesies lain hidupan liar mampu memastikan kelangsungan khazanah hampir pupus ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihak Jabatan Perhilitan mengucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian Kewangan atas keprihatinan menyediakan peruntukan besar itu termasuk bagi program pengawalan habitat.

"Selaku agensi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Perhilitan akan mempertingkatkan program konservasi Harimau Malaya demi memastikan ia tidak pupus.

"Selain itu, peruntukan itu juga akan digunakan untuk mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar serta mengurangkan kes-kes kemalangan membabitkan hidupan liar terutamanya bagi spesies gajah," katanya tadi.

Menurutnya, Jabatan Perhilitan juga amat berterima kasih kepada Kementerian Kewangan kerana meningkatkan peruntukan iaitu sebanyak RM39 juta untuk meneruskan Program Perlindungan dan Kawalan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme - BP3) yang mana program ini membabitkan pelantikan Veteran Angkatan Tentera

Malaysia (ATM), Veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM), Orang Asli dan masyarakat setempat (VETOA) sebagai Renjer Komuniti serta Program Operasi Bersepadu Khazanah iaitu kerjasama bersama PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia ( JKDM) , Jabatan Perhutanan, NGO dan lain-lain agensi berkaitan.

"Program BP3 ini sangat penting dalam memastikan tiada aktiviti pemburuan haram, pembalakan haram serta pencerobohan dilakukan di kawasan perlindungan.

"Ini akan memastikan habitat Harimau Malaya dan hidupan liar lain terjaga serta memastikan Kempen Selamatkan Harimau Malaya mencapai sasaran ditetapkan," katanya.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukkan RM36 juta bagi program perlindungan harimau, gajah dan spesies liar lain untuk memastikan hidupan liar serta habitat hutan terus terpelihara.

Dengan menyaksikan peningkatan peruntukan sebanyak itu menerusi pengumuman dalam Bajet 2023, bilangan renjer komuniti yang mengawal biodiversiti kawasan hutan dapat ditingkatkan.

Ia membabitkan peningkatan daripada 800 kepada 1,000 renjer. Mereka yang digaji adalah dalam kalangan komuniti tempatan khususnya orang asli dan veteran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 4:31 PM