DATUK Dr. Shamsul Anuar Nasarah pada sidang media ketika persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. FOTO Azhar Ramli
DATUK Dr. Shamsul Anuar Nasarah pada sidang media ketika persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. FOTO Azhar Ramli
Hayati Ibrahim dan Suraya Roslan


SERAMAI 30 anggota penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ditempatkan di 14 pintu masuk di Semenanjung Malaysia bagi menangani perdagangan hidupan liar rentas sempadan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, unit anjing pengesan (K9) turut diwujudkan bagi mengesan hidupan liar yang diseludup di lapangan terbang dan pelabuhan.

Katanya, Perhilitan juga sudah mengukuhkan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar di kawasan hotspot dengan melaksanakan Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) yang bermula 16 Jun lalu.

"Ia adalah pengukuhan kepada Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilaksana pada 3 September 2019 membabitkan Perhilitan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Taman Negeri Perak dan Johor serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"OBK mencapai kejayaan yang besar dalam menangani pemburuan haram hidupan liar, dan tahun ini sahaja OBK berjaya menangkap 32 kes membabitkan 64 pesalah dengan nilai rampasan berjumlah RM636,000, manakala 433 jerat dimusnahkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur , hari ini.

Terdahulu Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) ingin mengetahui langkah yang diambil kementerian untuk memastikan Malaysia tidak lagi menjadi pusat transit atau terbabit dalam memperdagangkan haiwan liar selepas pandemik Covid-19.

Shamsul Anuar berkata, program BP3 diperkukuhkan lagi dengan pelantikan 100 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 50 Orang Asli sebagai ranger hidupan liar secara perkhidmatan kontrak.

Beliau berkata, langkah lain yang diambil termasuk menjalin kerjasama dalam aktiviti penguatkusaan dan perkongsian maklumat dengan Interpol sejak 2016 melalui beberapa operasi termasuk Operasi Tragon dan Ops Chamelion.

"Selain itu, kita juga memperkukuhkan penguatkuasaan menerusi perisikan dan penguatkuasaan dengan kerjasama badan antarabangsa, serta meningkatkan kerjasama serantau dalam aktiviti penguatkusaan dan perkongsian maklumat di bawah ASEAN Working Group on CITES and Wildlife Enforcement.

"Kita turut memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan agensi penguat kuasa melalui Operasi Benteng di bawah National Task Force (NTF) yang diterajui ATM bagi mengekang sindiket penyeludupan di sempadan dan pintu masuk negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 3:56 PM