Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) membangunkan panduan pencegahan dan pengurusan Covid-19 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan kejadian banjir di beberapa negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini 18 PPS dibuka di tujuh daerah di Johor, Pahang, Selangor dan Melaka yang menempatkan seramai 1,267 mangsa daripada 303 keluarga.

"Keadaan penghuni yang ramai di PPS boleh membawa risiko penularan jangkitan Covid-19 di kalangan mangsa dan petugas.

"Justeru, langkah pencegahan Covid-19 di PPS perlu diamalkan dan diberi perhatian oleh penghuni dan agensi bertanggungjawab dalam pengurusan serta kebajikan mangsa.

"Penjarakan sosial yang selamat, mencuci tangan dengan air dan sabun, etika batuk dan bersin perlu diamalkan sepanjang masa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Dr Noor Hisham.
Dr Noor Hisham.

Mengenai panduan pencegahan dan pengurusan Covid-19, beliau berkata, ia boleh diguna pakai semua pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan PPS semasa kejadian bencana.

Katanya, antara cadangan disarankan adalah PPS perlu meletakkan tanda jarak, menyediakan sabun atau cecair pembasmi kuman tangan di lokasi strategik seperti pintu masuk dan di dalam PPS dan penghadang, kubikel atau khemah perlu dijarakkan sekurang-kurangnya dua meter.

"Selain itu, semua PPS juga perlu menyediakan pelitup muka untuk kegunaan mangsa bergejala, poster etika batuk dan bersin ditampal di PPS, makanan disediakan dengan pembungkusan individu, tandas mobil sebagai tambahan.

"Sanitasi kawasan guna sama harus kerap dilakukan dan bilik isolasi perlu disediakan untuk mengasingkan mereka bergejala," katanya.

Tambah beliau, mangsa mendaftar masuk ke PPS yang mempunyai gejala dan sejarah kontak rapat atau pulang dari luar negara perlu ditempatkan di bilik isolasi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 5:45 PM