Putrajaya: Bakal jemaah haji dan umrah dari Malaysia diharap mematuhi beberapa tip dan langkah kesihatan bagi mengelak dijangkiti Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERSCoV) sepanjang menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah dan Madinah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara tip yang perlu diamalkan termasuk membasuh tangan menggunakan sabun dan air dengan kerap; elakkan daripada menyentuh mata, hidung dan mulut tanpa membasuh tangan dan tutup mulut dengan kain atau tisu ketika batuk atau bersin.

Beliau berkata, jemaah haji juga diminta mengelakkan bergaul dengan mereka yang sakit; elakkan berada berdekatan dengan unta dan elakkan meminum susu unta.

“Sekiranya mengalami beberapa masalah kesihatan seperti kesukaran bernafas; demam; batuk dan sesak nafas, sila berjumpa dengan doktor segera bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Selain itu, jemaah yang mempunyai penyakit kronik seperti penyakit paru-paru; kegagalan buah pinggang dan diabetes pula diminta mendapatkan nasihat doktor sebagai langkah pencegahan awal,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini semalam.

Katanya, jemaah juga dinasihatkan mendapatkan nasihat doktor sekiranya mengalami gejala-gejala seperti demam; batuk dan kesukaran bernafas dalam tempoh 14 hari selepas melawat negara-negara di Semenanjung Arab atau nnegara jiran.

Dr Noor Hisham berkata, mana-mana rakyat Malaysia yang ingin ke negara Arab juga diminta mendapatkan nasihat doktor selain memaklumkan perjalanan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:49 AM