GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Ihsan APM.
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Ihsan APM.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai panduan kepada semua agensi yang terbabit semasa bencana banjir.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah berkata, panduan ini boleh dicapai di laman sesawang agensi masing-masing.

"Amalan norma baharu perlu dipraktikkan sepanjang masa daripada proses menyelamat dan memindahkan mangsa sehinggalah mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Mangsa banjir akan disaring terlebih dahulu untuk sebarang gejala dan faktor risiko Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, mangsa yang bergejala pula akan diwajibkan melakukan ujian saringan Covid-19 untuk mengelakkan berlakunya kejadian kluster Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir di PPS,

Katanya, mangsa banjir yang bergejala, berisiko, atau positif Covid-19 akan diasingkan bagi mengelakkan penularan kepada mangsa banjir yang lain.

"Penempatan mangsa banjir semasa pandemik Covid-19 adalah kes positif Covid-19 akan diisolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau PPS Khas, atau dirujuk hospital mengikut keperluan.

"Kontak Rapat atau individu dalam pemantauan (PUS) akan dikuarantin di PPS Khas atau PPS yang sama tetapi berlainan blok," katanya.

Beliau berkata, mangsa bergejala tetapi negatif ujian saringan Covid-19 perlu dikuarantin.

"Mangsa banjir hendaklah sentiasa memberi kerjasama kepada agensi tindak balas terutamanya dalam aspek pematuhan kepada SOP dan amalan norma baharu sepanjang tempoh berada di PPS.

"Sehubungan itu, KKM ingin menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko tinggi untuk mengalami banjir supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak yang berwajib, khususnya keperluan untuk berpindah segera bagi mengelakkan berlakunya kemalangan dan kehilangan jiwa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 6:39 PM