Ruwaida Md Zain

SANGGUP menebuk paip utama yang berada sedalam satu meter di bawah tanah bagi membuat sambungan haram demi kepentingan pengoperasian premis dan kegunaan harian pekerja.

Itu perbuatan yang dilakukan pemilik premis yang menggunakan bekalan air secara 'percuma' sejak setahun lalu di Jalan Sungai Chandong 13, Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Mohd Fazil Ismail berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi terbabit susulan aduan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berhubung sambungan bekalan air tidak sah di situ.

"Kita menjangkakan kecurian dilakukan oleh satu premis sahaja iaitu kilang simen tetapi SPAN mendapati ada tiga premis mengambil air secara tidak sah membabitkan kilang simen, syarikat operasi kitar semula dan syarikat yang membina tangki air.

"Ketiga-tiga premis ini mengambil air secara terus daripada paip utama milik Air Selangor menggunakan tiga bersaiz 32 mm dan satu bersaiz 25 mm," katanya.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan Air Selangor menanggung kerugian kira-kira RM380,000 bagi ketiga-ketiga premis dalam tempoh setahun penggunaannya.

"Ujian klorin di tapak itu juga mengesahkan bekalan air terbabit adalah air terawat yang diterima daripada bekalan air milk Air Selangor," katanya dalam sidang media selepas Operasi Bersepadu Pemotongan Bekalan Air SPAN - Air Selangor, hari ini.

Mohd Fazil berkata, semakan pada rekod Air Selangor juga mendapati premis terbabit tidak mempunyai sebarang akaun berdaftar yang sah.

"Kita sudah memotong bekalan air ketiga-tiga premis dan SPAN sudah mengeluarkan notis kepada ketiga-tiga premis ini di mana SPAN dengan kerjasama Air Selangor akan menjalankan siasatan lanjut.

"Sekiranya terbukti bersalah, mereka akan disabitkan mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655)," katanya.

Justeru itu katanya, pemilik premis perlu menjelaskan bayaran yang digunakan sebelum sambungan semula dibuat jika ingin terus beroperasi.

MOHD Fazil (kiri) menunjukkan sambungan bekalan air tidak sah sebuah kilang simen ketika operasi penguatkuasaan di Jalan Sungai Chandong, Pulau Indah, Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar
MOHD Fazil (kiri) menunjukkan sambungan bekalan air tidak sah sebuah kilang simen ketika operasi penguatkuasaan di Jalan Sungai Chandong, Pulau Indah, Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar

"Mereka kena jelaskan bayaran dalam tempoh 14 hari bermula hari ini dan mereka memang kena jelaskan segera, jika tiada bekalan air mereka tidak dapat beroperasi.

"Ini bermakna, dua bayaran mereka kena buat. Satu bayaran kepada Air Selangor dan kedua, kes ini akan dibawa ke mahkamah, berapa jumlah yang diputuskan oleh mahkamah juga mereka tetap kena bayar. Semua pemilik premis sudah dimaklumkan," katanya.

Dalam pada itu katanya, SPAN sedang menyemak semula Akta 655 dan dijangka akan diperbaharui tidak lama lagi dengan memperketatkan hukuman sewajarnya kepada mereka yang mencuri, melanggar atau mencemarkan air.

"Kita perlu kerjasama penuh daripada orang ramai untuk memaklumkan pada SPAN dan operator air jika mengesyaki sebarang perbuatan mencuri air malah operator sendiri akan pantau dari masa ke semasa berhubung isu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 6:26 PM