(Gambar kiri) Loh dan Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Amin Lin Abdullah (kanan) menunjukkan saluran paip air haram yang dilakukan di sebuah kilang sarung tangan getah. (Gambar kanan) Kontraktor Air Selangor melakukan kerja mengorek saluran paip air haram.  FOTO Roslin Mat Tahir

Faliq Lajim

Pelabuhan Klang: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyerbu sebuah kilang sarung tangan getah di Lingkaran Sultan Hishamuddin, dekat sini, selepas didapati membuat sambungan air secara haram.

Serbuan jam 9 pagi itu dijalankan selepas mendapat aduan mengenai aktiviti sambungan air haram di kawasan berkenaan.

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat SPAN Loh Pit Mui berkata, siasatan awal mendapati kerugian daripada kejadian itu dianggarkan lebih RM2.7 juta.

"Kesalahan ini dilakukan mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

"Sabit kesalahan, syarikat berkenaan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, premis berkenaan mempunyai akaun berdaftar namun masih terdapat sambungan bekalan air yang dilakukan secara haram.

"Sambungan yang dibuat tanpa meter ini dipercayai digunakan untuk operasi kilang serta menampung pekerja yang tinggal di asrama kilang itu.

"Ujian klorin mendapati bekalan air disalurkan di premis itu adalah air terawat," katanya.

Loh berkata, SPAN juga akan menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 6:58 PM