Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebuah tapak pembinaan di Jalan Medan Residen, Desa Parkcity, Kepong di sini, dikesan mencuri air sejak lebih setahun lalu membabitkan kerugian kira-kira RM200,000.

Perbuatan itu dibongkar dalam serbuan bersepadu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor), hari ini.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Bahagian Pengurusan Korporat SPAN, Mohd Fazil Ismail berkata, serbuan mengejut dilakukan selepas mendapat aduan penduduk setempat selain pemantauan berkala.

Menurutnya, apabila berlaku pengambilan air secara tidak sah akan terjadi pengurangan tekanan air untuk pembekalan kepada penduduk setempat domestik.

"Berdasarkan siasatan yang dilakukan pihak Air Selangor dan penguatkuasaan SPAN, kita mendapati sambungan secara haram membabitkan paip jenis HDPE berukuran 32 milimiter yang disambung secara terus ke paip salur utama milik Air Selangor bersaiz 15.24 sentimeter.

"Paip disambung secara haram ke dalam tapak pembinaan itu adalah untuk kegunaan domestik dan harian yang turut membabitkan kegunaan bagi pekerja tapak pembinaan dianggarkan seramai 40 orang.

"Semakan oleh Air Selangor juga mendapati bahawa tapak projek pembinaan berkenaan tidak mempunyai sebarang meter bekalan air yang sah berdaftar. Ujian klorin di tapak juga mengesahkan bahawa bekalan air yang diterima adalah air terawat," katanya kepada media selepas serbuan di lokasi itu.

MOHD Fazil menunjukkan paip yang disambung secara tidak sah daripada paip utama milik Air Selangor di sebuah tapak pembinaan di Desa Parkcity. FOTO FATHIL ASRI
MOHD Fazil menunjukkan paip yang disambung secara tidak sah daripada paip utama milik Air Selangor di sebuah tapak pembinaan di Desa Parkcity. FOTO FATHIL ASRI

Menurutnya, berdasarkan papan tanda projek yang didirikan di hadapan tapak pembinaan, pihak pengurusan Air Selangor menjangkakan pengambilan air secara tidak sah itu sudah berlaku sekitar 516 hari atau lebih setahun

Beliau berkata, kerugian di pihak Air Selangor membabitkan kecurian air itu adalah sekitar RM200,000 dan pihak SPAN menyiasat kes mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), iaitu tiada seorang pun selain pemegang lesen boleh membuat apa-apa sambungan ke suatu sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Pihak pelaku kemudiannya perlu menjelaskan kompaun kepada pihak Air Selangor dan jika disabitkan kesalahan akan dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

"Kita keluarkan notis kesalahan kepada pihak terbabit. Mereka perlu datang dan membuat penjelasan kepada SPAN dan kemudiannya jika sabit kesalahan kita bawa kes ke mahkamah untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, kebiasaannya apabila ada kes tekanan air rendah dan jika kawasan sekitarnya mempunyai tapak pembinaan memang pihaknya akan membuat penilaian dan pemantauan sebab dikenal pasti lokasi berpotensi berlakunya kecurian air.

Beliau berkata, di Selangor, ini adalah kes kedua seumpamanya bagi tahun ini yang bulan lalu kes kecurian air dikesan berlaku di kawasan pertanian di Hulu Langat.

"Di seluruh negara, SPAN jalankan operasi bukan hanya tapak pembinaan, ada banyak lagi lokasi lain seperti kawasan pertanian dan sebagainya yang mengambil air secara tidak sah.

"Disebabkan kebanyakan paip air berada di bawah tanah jadi sebarang aktiviti pengambilan air atau penyambungan paip secara tidak sah itu tak nampak dengan nyata melainkan perlu mengorek tanah kawasan sasaran dan cari sampai jumpa punca sambungan haram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 3:05 PM