AMIN (kanan) dan Loh melihat paip air yang disambung secara haram dalam operasi di sebuah kilang di Lingkaran Sultan Hishamuddin, semalam.
AMIN (kanan) dan Loh melihat paip air yang disambung secara haram dalam operasi di sebuah kilang di Lingkaran Sultan Hishamuddin, semalam.
Faliq Lajim


Pelabuhan Klang: Seramai 15 anggota penguat kuasa nyaris pengsan ketika melakukan operasi di sebuah kilang sarung tangan getah berikutan terhidu gas amonia.

Operasi dilakukan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berikutan aduan penyambungan haram dilakukan kilang berkenaan.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak mematahkan semangat penguat kuasa apabila terus melakukan operasi dengan memakai penutup muka di kilang terletak di Lingkaran Sultan Hishamuddin, di sini, petang semalam.

Dalam serbuan itu, kilang yang beroperasi lebih 25 tahun berkenaan didapati mencuri kira-kira 1.2 juta meter padu (m3) air atau bersamaan kerugian kira-kira RM2.7 juta.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lim Abdullah berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya membuat risikan selama empat bulan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu sambungan bekalan air secara tidak sah yang dibuat secara terus tanpa melalui tetiang meter sepanjang 20 meter di bawah tanah.

“Syarikat berkenaan hanya membayar RM4,000 sebulan yang tidak memadai dengan saiz kilang serta jumlah 800 pekerja di asrama yang tinggal di situ,” katanya ditemui selepas operasi itu, semalam.

Menurutnya, notis pemberitahuan kesalahan dan tindakan penguatkuasaan dikeluarkan oleh Air Selangor untuk tuntutan ganti rugi kehilangan air yang digunakan secara tidak sah.

“Seterusnya, tindakan undang-undang di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) akan diambil oleh SPAN sebagai badan kawal selia,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat SPAN Loh Pit Mui berkata, premis berkenaan mempunyai akaun berdaftar namun masih terdapat sambungan bekalan air yang dilakukan secara haram.

“Sambungan haram yang dibuat tanpa meter air ini diambil daripada sambungan yang dipercayai digunakan operasi kilang serta menampung pekerja yang tinggal di asrama kilang itu.

“Ujian klorin yang dijalankan di tapak mengesahkan bahawa bekalan air yang disalurkan di premis itu adalah air terawat.

“SPAN akan menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air,” katanya.

Menurutnya, jika sabit kesalahan syarikat itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 7:02 AM