Hasbi Sidek


LICIK mencuri air dengan membuat sambungan pintas tanpa melalui meter. Itu taktik premis membancuh simen di Kampung Jimah Baru, Bandar Baru Sendayan di sini.

Ia dikesan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum serbuan dijalankan bersama Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), semalam.

Pengarah Unit Komunikasi SPAN Mohd Fazil Ismail berkata, pihaknya mengesahkan air dicuri adalah dari sumber air terawat dibekalkan SAINS.

“SPAN menerima aduan daripada SAINS mengenai kegiatan mencuri air di premis berkenaan sebelum melakukan operasi penguatkuasaan secara mengejut pagi ini (semalam). Pemeriksaan mendapati ada sambungan terus dari paip utama milik SAINS tanpa melalui meter air dengan menggunakan paip poly berukuran 25 milimeter (mm).

“Sambungan itu menyalurkan bekalan air ke premis berkenaan yang dipercayai untuk kegunaan aktiviti harian. Ujian klorin di tapak juga mengesahkan bekalan air diterima adalah air terawat daripada sumber bekalan air milik SAINS,” katanya, semalam.

Mohd Fazil berkata, semakan rekod SAINS mendapati premis berkenaan ada akaun dan meter bekalan air sah, namun ada sambungan bekalan air dilakukan secara haram bagi menampung kegunaan aktiviti harian.

“Di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), tiada seorang pun selain pemegang lesen boleh membuat apa-apa sambungan ke suatu sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan.

“Jika disabitkan kesalahan tertuduh, pesalah boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 123(3) akta sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS Norzita Ismail berkata, kes kecurian antara penyumbang kepada air tidak berhasil (NRW) yang menyebabkan kerugian kepada operator termasuk SAINS.

“Jumlah kerugian SAINS akibat kes kecurian dari Januari lalu hingga Julai ini adalah RM374,829.90,” katanya.

 Fazil  (kiri) bersama kakitangan SPAN melihat paip utama milik SAINS yang digunakan tanpa melalui meter air yang dicuri  premis membancuh simen  di Kampung Jimah Baru, Bandar Baru Sendayan.
Fazil (kiri) bersama kakitangan SPAN melihat paip utama milik SAINS yang digunakan tanpa melalui meter air yang dicuri premis membancuh simen di Kampung Jimah Baru, Bandar Baru Sendayan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 6:01 AM