Muhaamad Hafis Nawawi


Hulu Selangor: Sanggup mengorek paip utama bertujuan mencuri bekalan air yang digunakan untuk menyiram pokok sayur dan minuman ternakan di ladang.

Itu antara tindakan pemilik kebun sayur di Rasa di sini, yang diambil tindakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tadi.

Hasil pemeriksaan mendapati pemilik kebun itu turut membuat sambungan paip haram sejauh hampir 1 kilometer ke ladangnya yang turut menempatkan kandang ayam dan kambing.

Bagi mengaburi kegiatan, pemilik ladang turut menimbus semula tanah yang dikorek bagi mengelak perbuatannya dikesan.

Pengarah Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna Bahagian Pengurusan Korporat, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd Fazil Ismail berkata, pihaknya menerima aduan daripada Air Selangor berhubung kes kecurian air itu sebelum melakukan pemeriksaan mengejut tadi.

"Ujian klorin di ladang itu turut mengesahkan bahawa bekalan air diterima adalah air terawat dari sumber bekalan air milik Air Selangor," katanya.

Mohd Fazil berkata, semakan juga mendapati premis ladang itu tidak memiliki akaun sah berdaftar dengan Air Selangor.

"Pemilik kebun sayur itu jelas melakukan kesalahan mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

"Tindakan mencuri air sejak setahun lalu itu menyebabkan Air Selangor menanggung kerugian RM85,550 atau bersamaan 37,522 meter padu.

"Air Selangor akan membuat tuntutan ganti rugi kehilangan air yang digunakan secara tidak sah," katanya.

PREMIS tanaman sayuran yang dipercayai membuat sambungan air secara tidak sah yang diambil dari Kolam Pengurusan Air Selangor pada Operasi Penguatkuasaan mengejut SPAN di Rasa. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
PREMIS tanaman sayuran yang dipercayai membuat sambungan air secara tidak sah yang diambil dari Kolam Pengurusan Air Selangor pada Operasi Penguatkuasaan mengejut SPAN di Rasa. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Beliau berkata, sejak 1 Januari hingga 31 Oktober tahun ini, Air Selangor menyiasat dan mendapati 400 kes seumpama itu dan menanggung kerugian sebanyak lebih RM1.97 juta atau 867,550 meter padu berikutan aktiviti sambungan bekalan air terawat secara haram.

"Pemilik kebun ini boleh didakwa dan didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 5:52 PM