GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nur Izzati Mohamad


KERANI bank wanita dan pekerja swasta lelaki di Kepala Batas, Pulau Pinang menjadi mangsa penipuan sindiket pinjaman wang tidak wujud apabila mengalami kerugian keseluruhan RM25,780.

Terdahulu, mereka berusia 30 dan 43 tahun itu tertarik membuat pinjaman dengan sebuah syarikat berlesen selepas terbaca iklan di Facebook dan Google.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka berhubung dengan ejen dalam talian untuk membuat pinjaman antara RM10,000 hingga RM50,000.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa diarahkan memasukkan sejumlah bayaran supaya pinjaman mereka dapat diproses.

"Mangsa pertama memasukkan wang berjumlah RM12,390 dan mangsa kedua pula memasukkan RM13,390 tanpa menyedari mereka terperangkap dengan sindiket penipuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa menyedari mereka ditipu apabila ejen terbabit meminta bayaran tambahan lain.

"Mangsa tampil membuat laporan polis, semalam dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 5:46 PM