Siti Nor Hidayatidayu Razali


KERANI wanita kerugian RM534,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam sebelum tampil membuat laporan polis Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa yang berusia 40-an ditipu sindiket itu bermula April lalu.

Katanya, sebelum itu wanita berkenaan menerima panggilan telefon daripada wanita yang mendakwa mangsa mempunyai surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana tidak membayar cukai RM24,000.

“Panggilan kemudian disambungkan kononnya kepada anggota polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan mangsa didakwa bersubahat dengan seorang individu yang mana kad pengenalan dan akaun bank mangsa digunakan untuk menipu.

“Mangsa diminta membayar sebagai pengesahan dia tidak terbabit dengan kes itu dan jika tidak mahu hartanya dibekukan.

“Wanita itu diminta memasukkan wang ke akaun pegawai penyiasat dan duit itu akan dikembalikan selepas kes selesai.

“Dalam tempoh sebulan mangsa membuat 12 transaksi bayaran ke akaun yang diberi antara RM10,000 hingga RM38,000 dengan jumlah keseluruhan RM534,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah hari ini.

Beliau berkata, sebaik tiba masa wang dikembalikan, suspek memberi pelbagai alasan dan mangsa tersedar dirinya ditipu sebelum menceritakan kejadian kepada keluarga.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Tanah Merah dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, dari Januari hingga Mei ini, polis menerima 37 kes penipuan Macau Scam membabitkan kerugian lebih RM2.19 juta.

Katanya, dalam tempoh Januari hingga Disember tahun lalu, pihaknya menerima 121 kes dengan kerugian RM10.2 juta.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mengikut arahan melalui panggilan telefon bagi mengelakkan mereka terpedaya dengan penipuan Macau Scam.

“Orang ramai juga diminta tidak menghubungi nombor yang tidak dikenali serta tidak mendedahkan maklumat kewangan kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 12:30 PM