FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hadzlihady Hassan


KERANI lelaki kerugian RM115,000 apabila diperdaya seorang lelaki mendakwa wakil dari sebuah mahkamah di Kuantan, Pahang menerusi panggilan telefon pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, ketika kejadian, mangsa, 55, mangsa berada di rumahnya di Sungai Nibong, Balik Pulau.

“Dalam perbualan telefon itu, lelaki terbabit mendakwa mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi bernilai RM50,000 dan akan dikenakan tindakan sekiranya tidak mahu membuat bayaran.

“Mangsa yang mendengarnya mula bimbang sebelum talian telefonnya didakwa disambung ke Balai Polis Kuantan dan dia diminta bercakap dengan seorang anggota polis,” katanya.

Anbalagan berkata, ahli sindiket Macau Scam mula memainkan peranan apabila mereka memberitahu mangsa bukan saja mempunyai tunggakan pinjaman wang malah turut terbabit dalam penggubahan wang haram.

“Sindiket itu kemudian meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM115, 000 ke dalam akaun bank kononnya untuk menyelesaikan masalah dihadapinya.

“Mangsa yang tidak menyedari ditipu memasukkan wang terbabit keesokkannya dan kemudian diminta untuk menunggu panggilan ‘polis’ sekiranya kes terbabit selesai serta untuk mengembalikan wangnya,” katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarganya kerana dia langsung tidak menerima sebarang panggilan selepas memasukkan wang terbabit.

“Ahli keluarganya terkejut mendengar berita itu dan mereka memberitahu yang dia sebenarnya ditipu sindiket Macau Scam.

“Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 10:50 AM