Fardy Bungga

AKAUNTAN wanita berusia 38 tahun kerugian RM103,000 selepas terpedaya dengan satu sindiket yang menawarkan pinjaman kewangan mencecah RM1 juta.

Dalam kejadian 15 September lalu, wanita berkenaan ditawarkan pinjaman kewangan menerusi Facebook dengan syarat yang sangat mudah.

Mangsa hanya perlu menghantar borang, salinan kad pengenalan, akaun bank dan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama wang pengurusan dan bayaran guaman pinjaman untuk diproses.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, mangsa yang memohon pinjaman sebanyak RM50,000 diminta memasukkan wang sebanyak RM648.

Katanya, dalam tempoh beberapa jam pihak sindiket berkenaan 'segera' meluluskan pinjaman dan menghantar gambar cek yang bertulis nama serta jumlah yang dipohon mangsa.

"Mangsa yang terpedaya kemudiannya memohon tambahan nilai pinjaman beberapa kali sehingga mencecah RM1 juta. Dalam tempoh sehari, mangsa membuat 12 transaksi bayaran berjumlah RM103,000.

"Mangsa akhirnya menyedari dirinya tertipu dan tampil membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan," katanya.

Chandra berkata, perkembangan kes penipuan menggunakan modus operandi ini membimbangkan berikutan peningkatan laporan yang diterima pihaknya.

Sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, pihaknya sudah menerima 44 kes membabitkan kerugian RM359,842.78, meningkat berbanding tahun sebelumnya dengan 22 kes dan nilai RM150,180.

"Walaupun polis sudah beberapa kali memberi amaran melalui media massa, masih ada mangsa yang terpedaya dengan kegiatan sindiket pinjaman tidak wujud seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 1:28 PM