FACEBOOK
FACEBOOK
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Mahu pinjam wang RM30,000 namun sebaliknya ditipu RM57,397. Itu antara nasib seorang suri rumah yang diperdaya sindiket penipuan pinjaman tidak wujud.

Difahamkan mangsa wanita berusia 28 tahun itu adalah antara tiga mangsa penipuan yang kerugian RM71,000 dalam tempoh hanya 3 hari.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, semua mangsa mengalami kerugian selepas ditipu sindiket yang bergerak aktif di laman sosial Facebook.

"Mangsa pertama seorang suri rumah dipercayai berurusan dengan suspek mendakwa syarikat pinjaman wang berlesen untuk pinjaman peribadi sebanyak RM30,000.

"Tujuan utama mangsa mahu membuat pinjaman peribadi itu adalah untuk membuka perniagaan.

Suspek bagaimanapun meminta mangsa membuat bayaran secara berperingkat membabitkan jumlah keseluruhan RM57,397 ke enam akaun bank berbeza," katanya tadi.

Beliau berkata, mangsa kedua yang juga pengusaha makanan berusia 38 tahun turut terpedaya selepas mahu meminjam wang sebanayak RM30,000 untuk mengembangkan perniagaannya.

"Suspek meminta mangsa membuat bayaran secara berperingkat membabitkan jumlah keseluruhan RM11, 834.40 sebelum mangsa menyedari ditipu.

"Mangsa ketiga pula adalah pekerja sebuah hotel di daerah ini berusia 34 tahun. Mangsa mendakwa berurusan dengan dua individu untuk membuat pinjaman peribadi berjumlah RM10,000.

"Suspek turut meminta mangsa membuat bayaran kos pengurusan berjumlah RM1,860 yang dipindahkan ke dua akaun bank berbeza," katanya.

Menurutnya, sindiket menggunakan alasan semua wang dibayar itu adalah untuk tujuan wang jaminan, wang pemprosesan, wang insurans, yuran guaman dan pelbagai alasan lagi.

"Mangsa hanya menyedari sudah diperdaya selepas gagal memperolehi pinjaman dijanjikan. Siasatan masih dijalankan dan usaha memburu suspek dan sindiket masih diteruskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 6:57 PM