Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Lelaki warga emas serta suri rumah menjadi mangsa penipuan membabitkan kerugian lebih RM11,000 apabila terperdaya dengan sindiket pinjaman dan pelaburan alam maya tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 60 tahun sebelum itu berminat meminjam sejumlah wang selepas terlihat iklan pinjaman di laman sosial Facebook.

"Mangsa mahu meminjam RM100,000, namun diminta membuat beberapa bayaran bagi urusan pemprosesan pinjaman.

"Lelaki itu menuruti kata-kata ejen terbabit dan membuat bayaran berjumlah RM8,832 sebelum menyedari ditipu apabila diminta membuat beberapa bayaran lagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, wanita berusia 59 tahun pula kerugian RM2,550 akibat terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud sejak sebulan lalu.

Menurutnya, mangsa melihat iklan pelaburan wang di Facebook yang menawarkan pulangan tinggi dalam tempoh tiga hingga 24 jam dengan hanya bermodalkan RM350.

"Mangsa yang mendakwa ditawarkan pulangan wang sebanyak 20 kali ganda kemudian memasukkan sejumlah wang tanpa menandatangani sebarang dokumen perjanjian.

"Mangsa menyedari ditipu apabila diminta untuk membuat pembayaran lain bagi tujuan pembayaran cukai syarikat," katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa membuat laporan polis, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 9:13 PM