BERNAMA

SEMUA sekolah agama dan madrasah tahfiz yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak kerajaan negeri dibenarkan untuk dibuka semula mulai 15 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagaimanapun bagi sekolah agama dan madrasah tahfiz tidak berdaftar, mereka perlu merujuk kepada kerajaan negeri sebelum memulakan operasi.

"Semuanya tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dikemukakan KPM supaya kita akan dapat menamatkan rangkaian Covid-19.

"(Pembukaan ini juga) Termasuk madrasah yang jika berdaftar di bawah KPM boleh terus dapat beroperasi, tetapi jika tidak berdaftar mereka kena mohon dengan kerajaan negeri masing-masing," katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pelajar tingkatan satu hingga empat dan pelajar kelas peralihan serta murid tahun lima dan enam akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai ini.

MUDIR, Mohd Zahid Mahmood, mengukur jarak antara katil untuk penghuni asrama bagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) selepas kerajaan mengumumkan pembukaan semula Pusat Tahfiz yang berdaftar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
MUDIR, Mohd Zahid Mahmood, mengukur jarak antara katil untuk penghuni asrama bagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) selepas kerajaan mengumumkan pembukaan semula Pusat Tahfiz yang berdaftar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Mohd Radzi berkata pembukaan semula sekolah bagi murid tahun satu hingga empat pada minggu berikutnya iaitu 22 Julai.

Sementara itu, Zulkifli berkata pihaknya akan memberikan latihan berterusan kepada pegawai dan kakitangan MSWP sesuai dengan normal baharu bagi meningkatkan kompentensi mereka.

"MSWP perlu lebih cekap dan pantas dalam urus tadbir, penambahbaikan akan dilaksanakan kepada sistem Sifar Kes Tertunggak (SiKeT) dalam usaha menyelesaikan kes tertunggak," katanya.

Dalam lawatannya ke MSWP, Zulkifli meluangkan masa selama dua jam bagi melihat sendiri perjalanan operasi mahkamah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 2:17 PM