TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, (dua kanan) berbual dengan peserta seminar Loghat Kelantan 2017 yang di adakan di Hotel Grand Riverview. FOTO Fathil Asri
TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, (dua kanan) berbual dengan peserta seminar Loghat Kelantan 2017 yang di adakan di Hotel Grand Riverview. FOTO Fathil Asri
Hazira Ahmad Zaidi


KERAJAAN negeri Kelantan mewajibkan semua pusat tahfiz dan madrasah terutama di kawasan pedalaman berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia bagi memudahkan urusan pantauan dan agihan bantuan.

"Kita sentiasa menggalakkan institusi berkenaan supaya berdaftar bagi memudahkan pemantauan dilakukan dan sekiranya ada bantuan kita boleh salurkan secara lebih teratur,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Seminar Loghat Kelantan di Hotel Grand Riverview (GRV), Kota Bharu, hari ini.

Beliau tidak menafikan masih ada institusi pengajian begitu yang gagal berdaftar menyebabkan MAIK kurang sedar kewujudan mereka.

"Sekiranya mereka tidak berdaftar, kita tidak tahu kewujudan mereka. Kebanyakan pusat pengajian tahfiz dan pondok di Kelantan diusahakan individu persendirian menyebabkan banyak kekurangan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri memberi fokus utama terhadap pendidikan tahfiz dan atas sebab itu Yayasan Islam Kelantan (YIK) ditubuhkan.

Katanya, kerajaan negeri juga berhasrat menubuhkan satu sekolah tahfiz di setiap daerah sebagai peluang untuk rakyat menerima didikan Islam terbaik.

Mengenai tragedi pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, beliau berkata, usaha kerajaan meningkatkan aspek keselamatan di pusat pengajian sebegitu, wajar dipuji.

Namun katanya, punca kejadian yang disebabkan angkara khianat tidak boleh dijadikan asas untuk menutup keseluruhan pusat tahfiz.

"Sudah terbukti kejadian angkara khianat, jadi soal pusat tidak dilengkapi ciri keselamatan itu tidak benar.

“Kita sokong usaha untuk tingkatkan keselamatan. Tapi kalau sampai nak menutup semua pusat tahfiz, itu sangat tidak patut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 12:55 PM