ANGGOTA bomba mengajar cara menggunakan alat pemadam api jika berlaku kebakaran. FOTO Fathil Asri
ANGGOTA bomba mengajar cara menggunakan alat pemadam api jika berlaku kebakaran. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat pemeriksaan keselamatan terhadap 228 daripada 1,200 pusat tahfiz dan pondok di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Soiman Jahid berkata, daripada jumlah itu 66 peratus atau 152 pusat tahfiz dan pondok mengikut spesifikasi keselamatan dan 34 peratus atau 76 premis tidak mematuhi keselamatan.

Katanya, bomba memberi notis kepada pusat tahfiz dan pondok yang tidak mematuhi keselamatan termasuk memasak di ruang penginapan, terlalu ramai pelajar dan penyambungan wayar berlebihan.

"Pemilik atau pengasas perlu mematuhi spesifikasi yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan penghuni.

"Pemeriksaan ini dilakukan oleh pasukan khas yang terdiri daripada 400 pegawai dan anggota bermula dari 24 September hingga 19 Oktober ini sebelum hasil laporan diserahkan kepada kerajaan untuk dibentangkan di mesyuarat kabinet," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kempen Keselamatan Kebakaran Sekolah-Sekolah Aliran Agama Negeri Kelantan Tahun 2017 di Dewan Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JBPM Kelantan, Nazili Mahmood.

Soiman berkata, semua pusat tahfiz dan pondok di negara ini perlu mengikut peraturan keselamatan termasuk menyediakan tangga yang cukup bagi memudahkan penghuni keluar jika berlaku kecemasan.

"Alhamdulillah semua pusat tahfiz dan pondok memberi kerjasama yang baik dan mereka sedar pentingnya keselamatan pelajar dan guru.

"Kita menyeru semua pemilik pusat tahfiz dan pondok supaya berdaftar dengan jabatan agama islam di negeri masing-masing," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, dalam kejadian 14 September lalu, seramai 21 pelajar dan dua warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur terkorban dalam kejadian kebakaran.

Susulan kejadian itu, polis menahan tujuh remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun dan enam daripadanya sudah didakwa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 5:19 PM