Mohd Amin Jalil


RUNGUTAN dan pandangan pelbagai pihak mengenai pindaan Takwim Penggal Persekolahan 2020 akan dirujuk dan dibincangkan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihaknya akan merujuk perkara itu kepada Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Jidin untuk dibincangkan di peringkat kementerian.

Katanya, pihaknya akui setiap perubahan atau sebarang pindaan mengenai takwim itu akan menimbulkan pelbagai pandangan dan mungkin masalah, tetapi fokus kementerian adalah memberi keutamaan kepada perancangan pengajaran dan pembelajaran (PnP).

"Saya faham, kita terima dan dengar pandangan dari semua pihak. Kita tahu memang ada sedikit rungutan, namun saya rasa paling penting kita kena pastikan PnP untuk pelajar sentiasa terjaga dan itu sangat penting.

"Apa pun rungutan dan lain-lain, boleh kita perhatikan dan sudah tentu guru-guru memahami kerja mereka iaitu keperluan untuk beri pengajaran dan pembelajaran terbaik untuk pelajar.

"Masalah sentiasa ada tetapi cara mengatasinya kita akan fikirkan dan lakukan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dan meninjau perjalanan pembukaan sesi persekolahan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di Kolej Vokasional Ampangan, Seremban, hari ini.

MAH (kiri) meninjau prosedur operasi standard (SOP) di bengkel automotif Kolej Vokasional Ampangan. Turut kelihatan, Md Fiah (tengah). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
MAH (kiri) meninjau prosedur operasi standard (SOP) di bengkel automotif Kolej Vokasional Ampangan. Turut kelihatan, Md Fiah (tengah). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Md Fiah Md Jamin dan Pengetua Kolej Vokasional Ampangan, Sarimen Sapie.

Semalam, KPM mengeluarkan kenyataan pindaan Takwim Penggal Persekolahan 2020 untuk membantu pihak sekolah membuat perancangan PnP.

Dalam kenyataan itu, KPM memaklumkan pindaan membabitkan cuti pertengahan penggal dua yang dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari.

Selain itu, cuti akhir tahun dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 dan 13 hari.

Jumlah hari persekolahan secara bersemuka berdasarkan pindaan Takwim Persekolahan 2020 adalah 168 hari bagi semua sekolah.

Bagaimanapun pindaan itu menimbulkan rungutan guru terutamanya yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak selain Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 1:24 PM