Aidil Mohamad Fazli (dua dari kanan) dan Fitri (dua dari kiri) berkongsi kegembiraan bersama ibu bapanya pada Majlis Konvensyen Kolej Vokasional Ampangan di Pusat Konvensyen Casa Lagenda. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Aidil Mohamad Fazli (dua dari kanan) dan Fitri (dua dari kiri) berkongsi kegembiraan bersama ibu bapanya pada Majlis Konvensyen Kolej Vokasional Ampangan di Pusat Konvensyen Casa Lagenda. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Ahmad Hasbi


Seremban: Mempunyai kembar yang belajar dalam kursus sama di Kolej Vokasional (KV) Ampangan, di sini, memberi kelebihan kepada pasangan berkenaan untuk mendapat keputusan cemerlang.

Lebih manis apabila Muhammad Aidil Mohamad Fazli dan Muhammad Fitri Mohamad Fazli masing-masing berusia 21 tahun kini turut mendapat pekerjaan di tempat sama sebaik menamatkan pengajian di KV.

Muhammad Aidil berkata, dia dan adiknya mengambil kursus sama iaitu Diploma Teknologi Elektrik yang mana memberi kelebihan kepada mereka berbanding penuntut lain untuk saling membantu dan bekerjasama.

"Jika adik ada buat kesilapan ketika belajar, saya akan betulkan dan begitu juga adik buat terhadap saya. Kami saling membantu ketika belajar kerana kami mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.

"Apa yang membuatkan kami lebih berbangga apabila saya mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.73 dan adik mendapat CGPA 3.72," katanya ketika ditemui, di sini.

Terdahulu, pasangan itu menerima sijil mereka dalam Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Ampangan Keenam yang disampaikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Pusat Konvesyen Casa Lagenda, di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, Ahmad Harith Mohammad Ghazali, 21, menerima Anugerah Pelajar Terbaik Program (APTP) Tahun 2021 dan Anugerah Pengarah Kolej Vokasional Ampangan.

Ahmad Harith berkata, sebagai penuntut yang tinggal di asrama, dia lebih senang untuk menguruskan masa dan melatihnya lebih berdisiplin.

"Selain itu saya tiada tips tertentu cuma perlu memberi tumpuan ketika belajar dan bergiat aktif dalam aktiviti berkumpulan bagi sesuatu projek inovasi yang boleh mendedahkan pelajar kepada latihan amali.

"Apa yang penting adalah jangan tinggalkan solat lima waktu dan minta restu serta doa daripada ibu bapa," katanya yang mendapat CGPA 3.88.

Sementara itu, Aminuddin berkata, penuntut lepasan KV mendapat permintaan tinggi daripada pihak industri lebih-lebih lagi di Negeri Sembilan yang kini menerima banyak pelaburan luar dalam bidang perindustrian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 3:53 PM