AMINUDDIN Awang di Wisma NUTP. FOTO Asyraf Hamzah
AMINUDDIN Awang di Wisma NUTP. FOTO Asyraf Hamzah
Amir Abd Hamid


KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) merayu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mempertimbangkan semula pindaan takwim penggal persekolahan 2020 membabitkan cuti guru yang dikurangkan.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, pihak kementerian perlu memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada guru serta pihak sekolah untuk menyelesaikan semua yang berkaitan dalam tempoh persekolahan takwim asal.

Menurutnya, NUTP yang mewakili 230,000 ahlinya turut kecewa langkah diambil KPM tidak mempertimbangkan fakta bahawa guru tetap bekerja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Seolah-olah guru tidak bekerja semasa tempoh PKP. Sedangkan guru sudah melaksanakan tanggungjawab dan komitmen mereka melakukan pengajaran dan pembelajaran secara maya.

"Malah ketika PKP, ada juga guru di kawasan tertentu Sabah dan Sarawak yang tiada capaian internet sanggup turun ke kampung pedalaman bagi menyampaikan bahan pengajaran kepada pelajar untuk membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dijalankan.

"NUTP merayu kepada Yang Amat Berhormat Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berilah keyakinan kepada guru selesaikan apa sahaja berkaitan dalam tempoh masa persekolahan yang takwim yang asal. Guru mampu dan sekolah memang mampu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan KPM semalam meminda Takwim Penggal Persekolahan 2020 untuk membantu pihak sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran (P&P) pelajar.

Kenyataan memaklumkan, pindaan membabitkan cuti pertengahan penggal dua yang dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari.

Ia membabitkan sekolah kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dan kumpulan B membabitkan Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Selain itu, cuti akhir tahun bagi sekolah dalam kumpulan A dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari manakala sekolah dalam kumpulan B dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari," kata KPM dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, ramai guru terutama di Sabah dan Sarawak dan guru di Semenanjung sendiri yang sudah merancang untuk bergerak untuk balik kampung ketika cuti persekolahan sebelum ini.

"Itu juga perlu diambil kira sebagai pertimbangan. Kita tahu bahawa sebelum ini pun mereka dah tak dapat balik kampung sebab PKP. Tetap jalankan tugas semasa PKP.

"Tetapi apabila cuti yang sepatutnya mereka dapat, dinafikan hak pula untuk bercuti. Selain itu, kena ambil kira bahawa Disember adalah musim tengkujuh.

"Proses persekolahan mungkin tidak dapat dilaksanakan waktu itu. Jadi tiada impak besar terhadap persekolahan jika dijalankan pada musim tengkujuh," katanya.

Beliau berkata, NUTP mendapat banyak rintihan daripada guru berkaitan permasalahan pindaan takwim penggal persekolahan yang disifatkan sebagai keputusan drastik dan tergesa-gesa.

"Memang NUTP tidak bersetuju dengan pemendekkan cuti itu. Walaupun kita yakin dan tahu bahawa pengajaran kepada murid itu penting tetapi berilah keyakinan kepada guru dalam tempoh masa persekolahan yang takwim yang asal

"Diharapkan pihak kementerian dapat membuat penilaian semula terhadap keputusan itu demi kebaikan semua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 3:57 PM