Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pengoperasian sekolah melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bermula 13 dan 14 Jun ini selama 25 hari persekolahan mengikut kumpulan negeri masing-masing.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ketika ini, sesi persekolahan dalam cuti pertengahan tahun dan sesi persekolahan berikutnya mengikut takwim akan bermula 13 Jun ini bagi negeri Kumpulan A dan 14 Jun bagi negeri Kumpulan B.

Beliau berkata, pelajar akan mengikuti PdPR selama 25 hari persekolahan sehingga cuti berikutnya iaitu cuti pertengahan penggal yang bermula 16 Julai bagi negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 Julai negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

"Cuti pertengahan penggal sehingga 26 Julai untuk negeri Kumpulan B dan 25 Julai untuk Kumpulan A, jadi itulah takwim atau jadual penggal persekolahan yang ada dan berkuatkuasa pada hari ini.

"Memandangkan mengikut takwim ini sekolah akan bermula semula pada 13 dan 14 Jun, tentunya ramai ibu bapa tertanya-tanya apakah pendekatan dilaksanakan untuk tempoh 25 hari persekolahan ini.

"Mengambil kira situasi semasa, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan bahawa untuk tempoh 25 hari persekolahan ini, kita akan laksanakan PdPR iaitu pengajaran dan pembelajaran di rumah.

"Ketetapan ini terpakai untuk semua sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang berdaftar dengan KPM perlu melaksanakan PdPR di sepanjang tempoh ini berdasarkan takwim masing-masing," katanya pada sidang media khas secara maya, hari ini.

Beliau berkata, seminggu sebelum cuti pertengahan penggal terbabit berakhir, KPM akan memaklumkan kepada ibu bapa dan murid mengenai pendekatan selanjutnya berdasarkan situasi pada waktu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 11:41 AM