KERETA suspek yang remuk di bahagian depan. FOTO Ihsan PDRM
KERETA suspek yang remuk di bahagian depan. FOTO Ihsan PDRM
Abdul Rahemang Taiming

LELAKI warga emas maut selepas digilis lori miliknya dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Taman Thien Vun, di Tawau, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa Fong Nyuk Kian, 75, mengalami kecederaan parah pada bahagian perut sebelum dikejarkan ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia pada 12.40 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, mangsa pada awalnya meletakkan lorinya di bahu jalan taman perumahan terbabit sebelum keluar menuju ke bahagian belakang.

Menurutnya, pada masa sama, sebuah Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berumur 22 tahun datang dari arah hadapan Taman Thien Vun menuju ke Jalan Bunga Raya.

"Pemandu Myvi berkenaan dikatakan cuba mengelak seekor anjing yang secara tiba-tiba melintas jalan mengakibatkannya terbabas sebelum melanggar seorang lelaki berumur 63 tahun yang kebetulan berada di luar pagar rumah di situ.

"Suspek turut melanggar lori mangsa menyebabkan kenderaan itu mengundur ke belakang lalu melanggar sebuah jip yang diparkir berhampiran mengakibatkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum digilis lori terbabit," katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Jelasnya lagi, akibat kemalangan itu, seorang mangsa iaitu pejalan kaki turut cedera ringan, manakala pemandu Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Polis telah menahan suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 8:29 AM