Abdul Rahemang Taiming


DUA lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan tiga bulan di Mahkamah Majistret di Tawau, hari ini.

Tertuduh, Jason Chin Carreon, 23, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan manakala Yong Kee Vun, 50, penjara dua bulan, selepas masing-masing mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-duanya didenda RM5,000 dan jika gagal membayarnya, mereka berdepan hukuman penjara lima bulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chin Carreon yang juga kerani di sebuah bank manakala Kee Vun, pengurus restoran, masing-masing didapati memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi paras dibenarkan di Jalan Chong Thien Vun dekat sini, kira-kira jam 1.10 pagi pada 23 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM6,000 dan boleh dipenjara sehingga 12 bulan.

Kedua-kedua tertuduh, Jason Chin Carreon, 23, (dua dari kiri) dan Yong Kee Vun, 50, (dua dari kanan) diiring pegawai dan anggota polis trafik sebaik dijatuhkan hukukan denda dan penjara oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Kedua-kedua tertuduh, Jason Chin Carreon, 23, (dua dari kiri) dan Yong Kee Vun, 50, (dua dari kanan) diiring pegawai dan anggota polis trafik sebaik dijatuhkan hukukan denda dan penjara oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau Asisten Superintendan Joan Lee.

Kedua-dua tertuduh pula tidak diwakili peguam bela.

Amir Shah dalam penghakimannya berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan pegawai pendakwa bahawa kes pemandu mabuk semakin meningkat termasuk di Tawau.

Tegasnya, mahkamah tidak pernah menafikan hak seseorang untuk meminum minuman beralkohol tetapi dalam menikmati perbuatan itu, semua orang mesti bertanggungjawab untuk mematuhi peraturan dan undang-undang dikuatkuasakan.

"Sehubungan itu, hukuman yang diputuskan ini bukan sahaja untuk dijadikan pengajaran kepada tertuduh, malah sebagai peringatan juga kepada orang ramai bahawa memandu dalam keadaan mabuk mempunyai kesan yang berat di sisi undang-undang.

"Hukuman yang lebih berat itu sebenarnya jauh lebih baik daripada kita menyesal jika kemalangan terbabit meragut nyawa orang tidak berdosa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 2:25 PM