ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 65 Jalan Tawau - Kunak, di sini, hari ini.

Mohd Hamzah Baddu, 46, yang memandu Proton Gen 2, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dalam kemalangan jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kemalangan membabitkan dua Proton Wira, sebuah Proton Gen 2, sebuah Perodua Myvi yang bertembung antara satu sama lain selepas salah satunya merempuh sebuah treler.

Menurutnya, siasatan awal mendapati empat kereta terbabit dari arah Kunak menuju ke Tawau manakala treler yang membawa muatan biji sawit dari arah Tawau menuju ke Kunak.

"Apabila tiba di tempat kejadian, Proton Wira dipandu lelaki berumur 59 tahun dikatakan cuba mengelak seekor anjing lalu melanggar bahagian hadapan lori treler berkenaan sebelum berada dalam keadaan melintang di laluan terbabit.

"Pada masa sama, sebuah lagi Proton Wira dipandu lelaki dikenali Mohd Zuliqbal Sudirman, 30-an, yang berada di belakang tidak dapat mengelak lalu merempuh kenderaan yang melintang di laluan itu.

"Pemandu treler dikatakan cuba mengawal kenderaan dipandu namun gagal lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh serta menyeret Proton Gen 2 dipandu mangsa sehingga menyebabkan dia tersepit di bahagian tempat duduk pemandu," katanya dalam kenyataan di sini.

Peter berkata, kejadian turut mengakibatkan sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang jururawat terbabas ke bahu jalan ketika cuba mengelak kemalangan tersebut.

"Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Wira berusia 59 tahun patah buku lali manakala tiga yang lain termasuk pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat dibawa ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kunak, Madzlan Sarman ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.18 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit berikutan kenderaan yang remuk teruk," katanya sambil menambah operasi ditamatkan jam 11.50 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 7:00 PM