GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Lelaki warga asing maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat satu sebuah pusat hiburan ketika cuba mengelak dari pemeriksaan dan serbuan polis, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian jam 1 pagi itu, sepasukan anggota dan pegawainya melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan di Pusat Komersil BDC, Jalan Chong Thien Vun, dekat sini, kerana disyaki beroperasi lebih masa.

Beliau berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan di premis itu, empat lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia antara 17 hingga 45 tahun ditahan atas kesalahan memasuki dan tinggal menetap di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

"Bagaimanapun, ketika pemeriksaan di bahagian belakang luar premis terbabit, polis menemukan seorang lelaki terbaring di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah.

"Mangsa berusia 23 tahun dipercayai terjatuh dari aras satu bangunan premis terbabit dan disyaki cuba melarikan diri dari pemeriksaan polis," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jasmin berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia kira-kira 8.30 pagi.

Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenalpasti motif mangsa melarikan diri sehingga mengakibatkan kematian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Public Entertainment Ordnance 1958 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kegusaran awam serta mengganggu siasatan polis.

"Masyarakat juga ditegah sama sekali menularkan maklumat yang tidak sahih," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 9:16 PM