NUR AFIA Qistina menerima sijil penghargaan daripada Eddin Syazlee. FOTO Amran Yahya
NUR AFIA Qistina menerima sijil penghargaan daripada Eddin Syazlee. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


"DIA (Nur Afia Qistina Zamzuri) sanggup menyiapkan peralatan perlindungan diri (PPE) ini walaupun dia telah dimaklumkan tidak menerima apa-apa bayaran (upah)," kata Hasnah Hud, 38.

Hasnah memberitahu, anaknya berusia sembilan tahun tidak kisah walaupun tidak menerima sebarang bayaran malah dia begitu teruja setelah diberitahu pihak Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) akan datang menghantar bahan PPE kerumahnya untuk dijahit.

"Bahan yang dihantar telah siap dipotong dan kami hanya perlu menjahit sahaja. Dia tidak perlu menunggu lama kerana dengan sekali tunjuk ajar, dia telah faham dan mampu melaksanakan secara bersendirian.

"Sehingga kini sebanyak 130 helai PPE telah disiapkan dan telah pun diserahkan kepada HTAN untuk kegunaan petugas barisan hadapan bagi mengekang merebaknya Covid-19.

"Kini ada berbaki 120 helai lagi yang siap dan masih tersimpan di rumah kami yang berkemungkinan untuk kegunaan petugas barisan hadapan di utara tanah air," katanya.

Sementara itu, Hasnah menzahirkan ucapan terima kasih di atas penghargaan yang diberikan kepada anaknya dan mengakuinya kerja yang dilakukan itu adalah dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan.

Bagi menghargai jasa dan kesanggupan adik Nur Afia Qistina menjahit dan menyiapkan PPE untuk kegunaan barisan hadapan, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memberikan sijil penghargaan kepada beliau, semalam.

Sijil tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith pada sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2020 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Pilah.

Hadair sama Pengarah Pendidikan Negeri, Md. Fiah Md. Jamin dan Ketua PPD Kuala Pilah, Megat Affandi Ismail.

Sementara itu, Eddin Syazlee memberitahu, adik Nur Afia Qistina yang berasal dari Kampung Kepis Hilir diibaratkan sebagai sebutir permata yang mempunyai bakat besar di dalam bidang jahitan terutama sanggup menjahit PPE untuk kegunaan barisan hadapan walaupun tanpa menerima bayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 2:13 PM