TUKANG jahit, Long Lee Ket (kanan) memotong kain untuk dijadikan baju PPE bagi kegunaan petugas kesihatan. FOTO Bernama
TUKANG jahit, Long Lee Ket (kanan) memotong kain untuk dijadikan baju PPE bagi kegunaan petugas kesihatan. FOTO Bernama
BERNAMA

KEBANYAKAN mereka tidak pernah bersua muka, namun atas semangat solidariti, 48 tukang jahit yang sebahagian besarnya di sekitar pulau ini bergabung menggunakan kemahiran masing-masing menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) buat kegunaan petugas kesihatan di Langkawi.

Sejak akhir Mac lalu, kumpulan ini yang hanya berhubung menerusi Facebook, menggunakan mesin jahit masing-masing bagi menghasilkan PPE untuk kegunaan petugas barisan depan di Hospital Sultanah Maliha dan Klinik Kesihatan Kuah yang sedang bertungkus-lumus membendung penularan pandemik Covid-19.

Pencetus kepada usaha murni itu, Norhayati Hassan, 39, yang juga berasal dari Langkawi berkata, dia pada mulanya menghebahkan inisiatif itu di Facebook bertujuan mencari tukang jahit untuk menjahit PPE dan tidak menyangka ia mendapat sambutan.

“Selepas hebahan di Facebook, saya bentuk kumpulan WhatsApp penjahit Langkawi pada 29 Mac lepas selepas tergerak hati untuk turut sama terlibat apabila melihat tukang jahit boleh turut sama membantu petugas kesihatan dengan menghasilkan PPE. Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan. Rata-rata kami semua dalam kumpulan itu tidak mengenali antara satu sama lain,” katanya yang kini menetap di Kuantan, Pahang.

TUKANG jahit, Long Lee Ket (kiri) memeriksa contoh jubah luar PPE buat kegunaan petugas kesihatan. FOTO Bernama
TUKANG jahit, Long Lee Ket (kiri) memeriksa contoh jubah luar PPE buat kegunaan petugas kesihatan. FOTO Bernama

Seorang wanita warga emas, yang tidak mahu ketinggalan untuk melakukan kerja amal, Long Lee Ket, 68, menawarkan kedai jahitan miliknya di Taman Intan, Langkawi sebagai pusat bagi kerja memotong bahan bukan jenis tenunan, bahan utama untuk menghasilkan penutup kepala, jubah luar dan pelindung kasut PPE.

“Di kedai jahitan saya memang sudah ada mesin, jadi lokasi ini dijadikan pusat utama untuk memotong bahan bukan tenunan sebelum diagihkan kepada tukang jahit di Kuah, Ayer Hangat, Padang Matsirat dan Kedawang. Bahan dibekalkan oleh pihak Hospital Sultanah Maliha dan Klinik Kesihatan Kuah. Daripada bahan yang diperoleh itu kami sudah potong dan bahagikan kepada 500 helai untuk dijadikan penutup kepala, jubah luar dan pelindung kasut,” katanya.

Farah Sahak, 31, pula berkata dia tergerak hati untuk turut sama terlibat menawarkan kemahiran menjahit dan memberitahu kumpulan itu menjadi rapat atas satu tujuan iaitu secara sukarela menghasilkan PPE buat petugas kesihatan di Langkawi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 12:04 PM