PINTU masuk Universiti Malaya. FOTO Arkib NSTP.
PINTU masuk Universiti Malaya. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menjalankan siasatan berhubung kes penggodaman sistem pembayaran atas talian, portal e-pay milik Universiti Malaya (UM), 17 Oktober lalu.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, KKMM memandang serius kes itu dan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) bagi membuat penelitian lanjut.

“Saya telah menerima maklumat berkenaan isu kebocoran maklumat data peribadi itu. Pada tahap ini kita sedang menyelidik maklumat itu dan tentukan sejauh mana kebenaran dakwaan dan kesan kebocoran itu kepada pelajar.

“Ia perlu dilakukan secara berhati-hati kerana kalau kita tersilap menangani isu ini memang keadaan akan menjadi lebih berat dan tidak terkawal.

“Saya yakin dan percaya dengan kerjasama semua pihak perkara ini dapat diselesaikan, di samping kita memikirkan cara terbaik untuk memastikan perkara sedemikian tidak berulang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Deepavali di Kuala Pilah, hari ini.

Eddin Syazlee berkata, masyarakat perlu dididik bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan terhadap kepentingan maklumat dan data peribadi seterusnya memahami kesan dan akibat pelanggaran undang-undang itu.

“Saya percaya undang-undang yang ada di bawah JPDP cukup keras dan perkara ini perlu difahami oleh masyarakat supaya jangan melakukan perbuatan menyebabkan kebocoran data peribadi terhadap mana-mana pihak sekali pun,” katanya.

Pada 17 Oktober lalu, satu akaun twitter memuat naik gambar mendakwa laman web UM digodam dengan kapsyen “University of Malaya got hacked and data leaked’ sehingga perkongsian itu mendapat perhatian ramai netizen.

UM dalam satu kenyataan pada 18 Oktober mengesahkan portal e-pay itu telah digodam dan sistem itu menjalani proses ujian serta akan diaktifkan semula dalam masa terdekat.

Terdahulu, Eddin Syazlee yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan baucer tunai RM100 kepada 60 penerima di Parlimen Kuala Pilah.

Beliau turut menyumbang sebuah kerusi roda kepada seorang remaja Orang Kelainan Upaya, O. Shajendro,15.

Pada majlis itu juga, Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-Isteri Harapan (Kasih) yang diwakili isteri Eddin Syazlee, Dr Nurul Hazlin Ibrahim memberi sumbangan wang tunai RM100 kepada 50 penerima yang kurang berkemampuan di parlimen tersebut.

b>Berita berkaitan:

li>Portal e-Pay UM dibaiki, tiada maklumat bocor

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 3:20 PM