Ekhwan Haque Fazlul Haque


JADIKAN normal baharu sebagai gaya hidup baharu, itu nasihat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri sekiranya rakyat Malaysia mahu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan.

Beliau berkata, pemimpin masyarakat digesa untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam menerapkan budaya normal baharu dalam kalangan komuniti setempat sebagai sebahagian daripada budaya hidup dalam mendepani ancaman Covid-19.

Menurutnya, jika masyarakat berganding bahu dan menjalani kehidupan dalam normal baharu ia pasti mampu memutuskan rantaian pandemik itu di negara ini.

"Prosedur operasi standard (SOP) perlu diteruskan dengan pemimpin masyarakat seluruh negara perlu memainkan peranan kepada masyarakat untuk fahami normal baharu.

"Biar ia menjadi budaya baru kepada rakyat Malaysia kerana jika normal baharu diterapkan, kita dapat putuskan rantaian Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga boleh ditamatkan," katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

ISMAIL Sabri pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra. FOTO BERNAMA

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengingatkan suami isteri yang mahu merentas negeri, termasuk dari Semenanjung ke Sarawak dan Sabah atau sebaliknya mendapatkan kebenaran polis terlebih dulu.

Katanya, ini bagi memudahkan perjalanan dan urusan penerbangan bagi pasangan yang berada di Sarawak dan Sabah.

"Saya ingatkan agar dapatkan kebenaran polis terlebih dulu sebelum membeli tiket kapal terbang," katanya.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan masih belum memutuskan penarikan sekatan jalan raya (SJR) sekiranya perjalanan rentas negeri dibenarkan selepas 9 Jun nanti.

Katanya, keperluan untuk meneruskan SJR bergantung kepada keputusan sama ada PKPB diteruskan atau sebaliknya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 4:43 PM