Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Polis Kelantan Mengadakan 19 sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini susulan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari Ini.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, terdapat daerah yang dikenakan satu, dua dan tiga SJR.

Katanya, bagi memastikan kelancaran SJR, seramai 200 anggota serta pegawai ditugaskan pada setiap sesi bermula tengah malam tadi, selain turut dibantu oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Pada masa sama, kita juga memohon bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan saya dimaklumkan pasukan berkenaan akan bersama-sama membantu dalam SJR pada Isnin ini.

"Selain itu, kita turut memohon bantuan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah bagi memastikan orag ramai patuh pada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas

Program Pemantauan Pematuhan PKPB di SJR Pulai Chondong, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh negeri Kelantan bermula hari ini sehingga 6 Disember.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, daerah Machang adalah kawasan 'hotspot' bagi pelaksanaan PKPB di Kelantan pada kali ini berikutan penularan kluster Mengketil yang merebak dalam masa singkat iaitu dalam tempoh dua hari.

"Kluster Mengketil ini merebak dengan begitu luas sehingga ke beberapa daerah lain yang sebelum ini berada dalam zon hijau.

"Justeru itu, saya menyeru kepada penduduk khususnya di daerah Machang supaya lebih prihatin serta komited dalam menanganinya bagi memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

Beliau menasihatkan supaya rakyat Kelantan patuh kepada SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB untuk mengekang penularan Covid-19.

"Sekiranya ada pergerakan yang betul-betul perlu, individu berkenaan diminta untuk berhubung dengan mana-mana balai polis berdekatan bagi mendapatkan kebenaran dan jika tidak ada keperluan, duduklah di rumah sehingga selesai PKPB.

"Jika ada urusan pastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa atau majikan," katanya.

Polis Kelantan melakukan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya di Pulai Chondong, Machang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri Kelantan yang berkuat kuasa hari ini sehingga 6 Disember ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Polis Kelantan melakukan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya di Pulai Chondong, Machang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri Kelantan yang berkuat kuasa hari ini sehingga 6 Disember ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 8:33 AM