Suasana lengang di kedai makan sepanjang persisiran Pantai Cahaya Bulan (PCB), 23 Nov lalu susulan pelaksanaan PKPB. FOTO Bernama
Suasana lengang di kedai makan sepanjang persisiran Pantai Cahaya Bulan (PCB), 23 Nov lalu susulan pelaksanaan PKPB. FOTO Bernama
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas ditamatkan, esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kerajaan itu dibuat selepas penilaian risiko dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi lokasi di daerah berkenaan.

Menurutnya, KKM mengesahkan kes positif Covid-19 di keempat daerah berkenaan menunjukkan penurunan mendadak dan terkawal sementara kes aktif yang masih ada namun hanya tertumpu di beberapa mukim Daerah Penggawa.

"PKPB masih dikuatkuasakan dua mukim Daerah Penggawa Mukim Kubang Kerian, Kota Bharu dan Kusial di Tanah Merah.

"PKPB di kedua-dua mukim ini akan diteruskan sehingga 20 Disember manakala Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah, Kampung Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh diteruskan sehingga tempoh sama," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, pasukan khas Operasi Pematuhan menjalankan 49,004 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Semalam PDRM menahan 260 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP dan daripada jumlah itu, seramai 245 individu dikompaun manakala 15 individu pula direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (102), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (79), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (40), aktiviti pusat hiburan (27) dan lain-lain kesalahan (12)," katanya.

Dalam pada itu, Operasi Benteng berjaya menahan 18 pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga tekong serta merampas tiga kenderaan darat.

Katanya, sebanyak 122 sekatan jalan raya (SJR) dijalankan semalam untuk mengekang kemasukan PATI ke negara ini.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 5:37 PM