Suraya Roslan


PASUKAN Khas Operasi Pematuhan ditubuhkan bagi menggantikan penugasan di sekatan jalan raya (SJR) selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diperkenalkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, ketika ini fokus bukan lagi diberikan kepada pergerakan tetapi lebih kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Sekatan jalan raya lebih fokus bagi menghalang orang ramai merentas negeri, tetapi daerah ke daerah lain sudah dibenarkan dan alasan (orang ramai) pun makin banyak, tidak mungkin polis dapat teruskan sekatan dan tumpuan polis dan pihak berkuasa ketika ini supaya orang ramai mematuhi SOP.

"Jadi PDRM menubuhkan Pasukan Khas Operasi Pematuhan bagi pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP PKPB di seluruh negara, serta disertai agensi lain diberi kuasa.

"Ada 14 agensi yang diberi kuasa oleh KKM untuk pelaksanaan pematuhan PKPB iaitu PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)," katanya.

ISMAIL Sabri ketika sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri ketika sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra. FOTO Bernama

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian, hari ini.

Menurutnya, agensi lain yang terbabit adalah Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH).

"Bagi kementerian pula, kuasa diberi kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)," katanya.

Ismail Sabri berkata, semua Ketua Polis Daerah juga dibenar menubuhkan Pasukan Pematuhan PKPD di peringkat daerah yang anggota tetapnya termasuk ATM, Rela, APM dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Pendekatan yang akan diambil oleh Pasukan Pematuhan ini adalah untuk memberi nasihat kepada orang ramai dan sektor industri, sebelum keluarkan amaran jika tahap pematuhan masih tidak memuaskan.

"Sekiranya ada individu atau sektor industri yang masih gagal mematuhi peraturan selepas diberi nasihat dan amaran, tindakan boleh diambil mengikut peruntukan di bawah Akta 342," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 4:47 PM