ANGGOTA pasukan MDSR mengunci sebuah premis yang diarahkan tutup berikutan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard PKPB. FOTO Adnan Ibrahim
ANGGOTA pasukan MDSR mengunci sebuah premis yang diarahkan tutup berikutan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard PKPB. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


SEBUAH premis menjual makanan di Jalan Bunga Raya 1, Pekan Baru Layang-Layang di sini, diarah ditutup selepas pemiliknya gagal memastikan pelanggan mematuhi penjarakan sosial selain menggaji lima pekerja warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial.

Arahan penutupan dibuat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) hari ini.

Yang Dipertua MDSR Mohamad Sukry Abd Rahim berkata, premis hanya akan dibenarkan beroperasi semula jika pemiliknya yang berusia 40-an mampu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Bagi kesalahan menggaji pekerja warga asing yang hanya memiliki pas lawatan sosial, ia diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

"Berikutan dua kesalahan ini, pemilik premis perlu terlebih dahulu menyelesaikan urusan dokumentasi dan tindakan daripada JIM atau PDRM sebelum boleh mengemukakan permohonan untuk beroperasi," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Sukry, pihaknya mengambil berat terhadap pematuhan SOP PKPB kerana tidak mahu peristiwa yang berlaku di Bandar Baru Ibrahim Majid dekat sini, berulang.

"Kami harap semua pemilik premis bertanggungjawab dalam melaksanakan penjarakan sosial selain menetapkan SOP yang perlu diikuti," katanya.

gambar:

1- Penguat kuasa Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) mengunci premis yang diarahkan tutup berikutan kegagalan mematuhi SOP PKPB.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 4:09 PM