AHMAD Basir menunjukkan harga perkhidmatan yang perlu dibayar orang ramai yang ingin menggunakan tandas awam di Pekan Renggam, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
AHMAD Basir menunjukkan harga perkhidmatan yang perlu dibayar orang ramai yang ingin menggunakan tandas awam di Pekan Renggam, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


SIKAP pengotor dan tidak bertanggungjawab pengguna tandas awam di Pekan Renggam dekat Kluang mengecewakan individu yang diamanah untuk menjaga kebersihannya.

Ahmad Basir Abdul Rahman, 37, berkata, kebanyakan pengguna terdiri daripada penduduk di Pekan Renggam selain orang ramai yang singgah sementara sebelum menyambung perjalanan ke Pekan Layang-Layang atau bandar Kluang.

Katanya, selain tidak menjaga kebersihan tandas, ada juga peralatan pembersihan disediakan pihak Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dicuri selain enggan membayar kos perkhidmatan sebanyak 30 sen.

"Kejadian kecurian serta tidak menjaga kebersihan berlaku pada waktu malam. Ada juga enggan membayar 30 sen dan berhutang untuk guna tanda," katanya ketika ditemui hari ini.

Ahmad Basir yang juga orang kurang upaya (OKU) (Intelektual) yang hidup sebatang kara dan menjadikan tandas OKU sebagai tempat penginapan berkata, dalam sehari pendapatannya menguruskan tandas itu tidak pernah lebih daripada RM20.

"Saya bagaimanapun menerima bantuan sebagai OKU sebanyak RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) Mohamad Sukry Abd Rahim berkata, pihaknya melantik Ahmad Basir untuk menguruskan tandas awam itu selain mengutip wang perkhidmatan daripada pengguna sebagai sumber pendapatannya.

Katanya, pembersihan, peralatan kebersihan, pembaikan serta kemudahan air dan elektrik ditanggung oleh pihaknya agar tidak terbeban kepada Ahmad Basir.

"Saya amat berharap agar orang ramai dapat memberikan kerjasama sama ada dari sudut kebersihan atau penjagaan peralatan yang disediakan selain membayar wang perkhidmatan yang ditetapkan.

"Dengan adanya Ahmad Basir yang sanggup menguruskan tandas ini, orang ramai bukan saja mendapat penyediaan kemudahan awam yang baik malah tidak langsung menjaga kebersihan pekan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 8:26 PM