GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Adnan Ibrahim


MAJLIS Daerah Simpang Renggam (MDSR) meluluskan 186 permohonan penghantar persendirian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sempena Ramadan.

Yang Dipertua MDSR, Mohamad Sukry Abd Rahim berkata, namun semua pemohon perlu melengkapkan borang permohonan dan dihantar kepada pihaknya selewat-lewatnya Jumaat ini sebelum diberikan surat kebenaran serta pelekat khas.

Katanya, mereka yang melepasi pemilihan mengikut kriteria ketat itu adalah golongan pelaksana yang akan menjalankan aktiviti perkhidmatan penghantaran sepanjang PKP.

“Satu taklimat khas kepada pemohon diadakan untuk menyelaras serta menguatkuasakan aktiviti perkhidmatan penghantaran (makanan) yang selamat bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

“Dalam pada itu, MDSR turut berperanan untuk membantu peniaga di dalam kawasan MDSR bagi membolehkan mereka mencari rezeki tambahan sepanjang Ramadan ini disamping merancakkan ekonomi tempatan.

“Tujuan penguatkuasaan ini adalah sebagai mengawal pergerakan kenderaan penghantar persendirian di kawasan penempatan dengan menghadkan bilangan kenderaan,” katanya.

YANG DiPertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) Mohamad Sukry Abd Rahim. FOTO Adnan Ibrahim
YANG DiPertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) Mohamad Sukry Abd Rahim. FOTO Adnan Ibrahim

Mohamad Sukry berkata demikian selepas taklimat kepada pemohon penghantar persendirian di Dewan Muafakat MDSR di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner, Mohd Abduh Ismail; Pegawai Epidemiologi Pejabat Kesihatan Daerah Kluang, Dr. Linayanti Rosli dan Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Johor, Azizan Ali.

Mohamad Sukry berkata, penghantar mesti mematuhi segala arahan MDSR bagi memastikan rantaian penularan wabak Covid-19 dapat diputuskan seterusnya membebaskan Simpang Renggam dan rangkaiannya daripada zon kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 2:06 PM