GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Adnan Ibrahim

Simpang Renggam: Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) menutup sementara operasi pasar harian berkuat kuasa esok (14 Oktober) berikutan penularan wabak Covid-19 di kawasan pentadbiran itu kelmarin.

Yang Dipertua MDSR, Mohamad Sukry Abd Rahim berkata, tempoh penutupan sementara operasi akan diberitahu kemudian bergantung kepada keadaan semasa.

Katanya, pasar harian yang ditutup operasinya adalah Pasar Kompleks Industri Kecil Sederhana (IKS) di Simpang Renggam, Pasar Bukit Keramoiyang di Machap dan Pasar Jalan Puteri di Pekan Layang-Layang

"Turut ditutup operasinya adalah Pasar Jalan Lingkaran 3, Taman Sri Lambak; Pasar Jalan Stesen, Renggam dan semua Pasar Tani kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Simpang Renggam.

"Untuk itu, semua pelesen, peniaga pasar sehari pagi, pasar malam dan pasar tani terbabit dikehendaki memberhentikan sementara aktiviti jualan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Sukry, sekiranya ingkar, pemilik lesen boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Katanya, arahan ini selaras dengan peruntukan kuasa kepada Majlis Daerah Simpang Renggam mengikut Seksyen 72(1)(f) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Pemakluman dan arahan ini dikeluarkan dari semasa ke semasa dan akan dipinda tertakluk kepada arahan selanjutnya daripada kerajaan negeri.

"Sebarang aduan atau pertanyaan lanjut boleh dikemukakan melalui talian 07-7551300 dan 1300-88-6377 atau WhatsApp ke 019-7551300," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 8:57 AM