Mayat warga emas yang ditemui selepas tersangkut pada sangkar ikan berhampiran Pulau Jerejak dekat Georgetown hari ini. Foto Ihsan APMM
Mayat warga emas yang ditemui selepas tersangkut pada sangkar ikan berhampiran Pulau Jerejak dekat Georgetown hari ini. Foto Ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli

MAYAT lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang tiga hari lalu ditemui tersangkut dalam sangkar ikan berhampiran Pulau Jerejak dekat Georgetown pagi hari ini.

Pemilik sangkar ikan dikatakan melaporkan penemuan penemuan mayat lelaki berusia 76 tahun berkenaan pada 8 pagi sebelum mayatnya dikeluarkan pada 10.15 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, mayat warga emas dari Juru, Bukit Mertajam itu ditemui memakai kemeja-T berbelang biru merah serta seluar pendek hitam sudah disahkan warisnya.

Menurutnya, warga emas itu dilaporkan terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 5.2 arah Prai menghala ke pulau pada 27 April lalu.

"Sejurus menerima maklumat, operasi mencari dan menyelamat dilakukan dan dikoordinasi Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi membabitkan pelbagai agensi keselamatan iaitu APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Aset milik agensi keselamatan yang terbabit kemudiannya digerakkan ke lokasi penemuan mangsa, seterusnya dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya bagi proses bedah siasat," katanya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 2:18 PM