MAYAT lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang ditemukan terapung berhampiran sangkar ikan di perairan Pulau Jerejak, di sini. FOTO ihsan APMM
MAYAT lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang ditemukan terapung berhampiran sangkar ikan di perairan Pulau Jerejak, di sini. FOTO ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Mayat lelaki dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang ditemukan terapung berhampiran sangkar ikan di perairan Pulau Jerejak, di sini, hari ini.

Mayat lelaki berusia 34 tahun itu ditemukan nelayan pantai pada 9.45 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat individu dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 6.1 arah pulau menghala ke Perai pada 11.50 malam tadi.

Katanya, APMM menerusi Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi kemudian mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dengan mengatur gerak Bot kilat 26 dan aset agensi terbabit ke lokasi.

"Mayat lelaki itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban sejurus ditemukan sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas ahli keluarga melakukan pengecaman.

"Lelaki itu berasal dari Lebuh Padang Tembak, Ayer Itam dan dipercayai meninggalkan motosikalnya di atas jambatan sebelum terjun dari jambatan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 5:19 PM