MAYAT lelaki yang dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang ditemukan berhampiran Jeti Swettenham Pier. FOTO Ihsan APMM
MAYAT lelaki yang dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang ditemukan berhampiran Jeti Swettenham Pier. FOTO Ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Mayat lelaki yang ditemukan terapung berhampiran Jeti Swettenham Pier, di sini, hari ini disahkan sebagai individu yang dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, Khamis lalu.

Mayat mangsa ditemukan orang awam pada 9.30 pagi berhampiran jeti berkenaan.

Pengarah Maritim Pulau Pinang Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengatur bot Kilat 26 ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban selepas ditemukan.

"Polis turut mengesahkan mangsa adalah individu yang dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, Khamis lalu.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Berikutan penemuan mayat itu, operasi mencari dan menyelamat oleh Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi ditamatkan pada 12.30 tengah hari ini.

Turut terbabit dalam operasi berkenaan ialah pasukan Polis Marin Batu Uban dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 2.5 arah Georgetown menghala ke Seberang Perai, Khamis lalu.

Mangsa turut meninggalkan motosikal di atas jambatan bersama nota mengandungi butiran nama mangsa, K Subash berusia 24 tahun yang beralamat di Pangsapuri Kejora Teluk Kumbar, di sini.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 7:12 PM