HASNI MOHAMMAD
HASNI MOHAMMAD
Mohamed Farid Noh


JOHOR Corporation (JCorp) dan syarikat kumpulannya sudah menyalurkan sumbangan lebih RM4.54 juta bagi membantu kerajaan yang sedang berusaha gigih untuk mencegah dan memutuskan rantaian Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang juga Pengerusi JCorp berkata, komitmen itu termasuk bantuan RM3 juta bagi membiayai pembelian 20 unit mesin bantuan pernafasan (RVM) untuk keperluan pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat jangkitan Covid-19 di hospital seluruh Johor.

Menurut beliau, dana itu diuruskan oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menyerahkan 42 unit RVM kepada hospital di negeri ini, baru-baru ini.

"Bantuan ini disumbangkan oleh JCorp bersama Kulim (M) Berhad (Kulim), KPJ Healthcare Berhad (KPJ), QSR Brands (M) Holdings Berhad (QSR Brands), Johor Land Berhad (JLand), Damansara Assets Sdn Bhd (DASB), Damansara REIT Managers Sdn Bhd dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp).

"Selain daripada sumbangan RVM, bantuan berjumlah RM727,849 dalam bentuk barangan juga diberikan oleh Kulim, JLand, KPJ, QSR Brands, DASB dan KARA Holdings (KARA).

"Ia membabitkan sumbangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk petugas barisan hadapan dan peralatan perubatan bagi kegunaan hospital, termometer, produk nanas Melita, set hidangan KFC dan Pizza Hut serta produk Ayamas yang diagihkan kepada pasukan petugas di pelbagai agensi," katanya pada kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, bantuan wang tunai RM131,600 juga disumbangkan oleh Kulim, JLand dan WANCorp kepada beberapa badan serta persatuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Menurut Hasni, sumbangan bungkusan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan susu juga turut diagihkan kepada 3,183 keluarga golongan B40 membabitkan peruntukan RM161,668 bagi tempoh 22 Mac hingga 13 April lalu.

"Dana Kebajikan WANCorp juga menyumbang RM65,000 kepada 1,300 keluarga terjejas manakala Dana ADD Hope KFC menyumbang RM10,850 untuk 217 keluarga.

"Dana Covid-19 yang diuruskan oleh WANCorp turut menghulurkan RM85,818 kepada 1,666 keluarga," katanya.

Menurut Hasni, WANCorp turut prihatin terhadap kesukaran peniaga yang menyewa kedai dan gerai di premis miliknya yang terpaksa menghentikan operasi semasa PKP.

"Untuk membantu meringankan beban peniaga kecil terbabit, WANCorp memberi moratorium pinjaman, pelepasan sewa atau diskaun berjumlah RM555,004 bagi tempoh enam bulan," katanya.

Hasni berkata, JCorp dan syarikat kumpulannya akan meneruskan komitmen membantu kerajaan dan komuniti yang terjejas bagi memastikan usaha mencegah dan memutuskan rantaian penularan Covid-19 benar-benar berkesan serta mencapai matlamat sifar jangkitan.

Berikutan Covid-19 yang memberi kesan jangka panjang kepada seluruh rakyat khasnya golongan B40, Hasni turut menyeru supaya lebih ramai dermawan tampil menyumbang kepada mana-mana dana berkaitan untuk membantu golongan terjejas termasuk Dana Covid-19 yang diuruskan oleh WANCorp.

Sumbangan kepada Dana COVID-19 boleh dibuat menerusi pautan http://toyyibpay.com/Tabung-Bantuan-Covid-19- atau disalurkan ke Akaun Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, Johor Bahru di 01014010060023 (Bank Islam Malaysia Berhad).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 9:22 PM