PELANCONG Jepun, Saki (kanan) dan Sako bergambar kenangan ketika mengunjungi Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass.
PELANCONG Jepun, Saki (kanan) dan Sako bergambar kenangan ketika mengunjungi Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass.
Mary Victoria Dass


“INI kali pertama saya bertudung serta ke masjid dan saya amat seronok dengan pengalaman ini,” kata pelancong Jepun, Saki, 19, di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, semalam.

Saki ditemui ketika menjayakan Program Semarak Ramadan BH dan Jalinan Ukhuwah JCorp 2019 di masjid berkenaan.

Program itu mendapat tajaan JCorp menerusi syarikat Kumpulan, QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp).

Saki berkata, pada awalnya dia berasa janggal kerana perlu memakai tudung sebagai langkah menutup aurat ketika berada di pekarangan masjid.

Menurutnya, bagaimanapun apabila menerima pendedahan mengenai pematuhan penutupan aurat di masjid, dia sedar kepentingan amalan berkenaan dalam kalangan umat Islam.

“Saya berasa seronok apabila diberitahu mengetahui amalan umat Islam termasuk berpuasa pada Ramadan dan tradisi pengagihan bubur lambuk.

“Saya seronok kerana diberi pengalaman memakai hijab,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Ulu Tiram, R Ratna, 54, berkata kunjungan ke masjid berkenaan membolehkannya memahami tuntutan agama Islam.

“Ini kali pertama saya jejak kaki ke masjid dan jemaah masjid amat mesra dan memberi peluang untuk saya mengetahui hal berkaitan Islam.

“Selain itu, inilah kali pertama saya dapat merasakan kelazatan bubur lambuk kambing yang dimasak secara gotong-royong.

“Hari ini (semalam) saya berpeluang berbuka puasa bersama dan bergambar di masjid yang memiliki reka bentuk menarik,” katanya.

Program itu bermula dengan aktiviti penyediaan bubur lambuk secara gotong-royong bersama ahli jawatankuasa Masjid Sultan Iskandar, kakitangan BH dan anggota pekerja JCorp.

Hadir sama, Naib Presiden Penjenamaan dan Komunikasi Strategik Kumpulan JCorp, Norsiah Juriani Johari; Pengarang Eksekutif Berita dan Digital BH, M Thilinadan; Pengurus WANCorp, Mohd Nazarudin Ali serta Pengerusi Masjid Sultan Iskandar, Mohd Razif Ab Rahim.

Program kemudian diteruskan dengan Solat Zuhur berjemaah, Majlis Taddabur al-Quran diikuti solat Asar berjemaah.

Forum bertajuk Puasa, Kesihatan dan Agama turut diadakan di Dewan Lukman al-Hakim Masjid Sultan Iskandar pada 5.30 petang yang mengupas pelbagai hikmah mengenai puasa mengikut perspektif agama, kesihatan serta sains.

Sebanyak 10 kaunter pameran turut dibuka di pekarangan masjid yang memberi pendedahan kepada masyarakat bukan Islam mengenai Islam, termasuk memberikan mereka pengalaman memakai hijab.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyerahan sumbangan zakat kepada saudara baharu sebelum semua tetamu berbuka puasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 11:24 PM